1 Minggu 1 Istilah | Sabar #06

1. Sabar dalam ketaatan kepada Allah
Ketaatan kepada Allah merupakan perkara yang wajib diikuti oleh semua manusia. Ia merupakan perintah Allah kepada kita. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 21, ertinya: Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa.
Sabar dalam mentaati Allah merupakan sabar yang penuh dengan dugaan, ini kerana sudah menjadi tabiat manusia yang tidak suka dikongkong dengan mana-mana peraturan kehidupan. Manusia suka akan kebebasan dan suka kepada benda-benda yang menghiburkan.
Sabar dalam mentaati Allah lebih sempurna daripada sabar menjauhkan diri daripada perkara-perkara maksiat. Sesungguhnya kebaikan dalam melakukan ketaatan lebih dituntut oleh syarak daripada kebaikan meninggalkan maksiat.
2. Sabar dalam meninggalkan maksiat dan perkara-perkara haram
Sesungguhnya Allah menjadikan sesuatu sebagai ujian untuk menilai keimanan seseorang itu terhadapNya. Firman Allah didalam Surah Al-Anbiya’ ayat yang ke 35, ertinya; Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
Manusia memerlukan kesabaran dalam menjalani kehidupan yang sementara di dunia dan sabar daripada melayan nafsu yang membinasakan.
Allah menjelaskan kepada kita bahawa setiap apa yang ada pada orang yang tidak beriman dan melakukan maksiat bukan bererti mereka mendapat nikmat, akan tetapi ia adalah satu bala yang mana ramai manusia tidak mengetahuinya.
3. Sabar dalam sesuatu ujian dan ketentuan Allah yang menyakitkan
Tidak ada seseorang yang terlepas daripada kesakitan badan, kesakitan jiwa, kerugian harta benda dan kehilangan orang yang dikasihi.
Ujian ini datang tidak kira baik atau jahat, mukmin atau kafir tetapi yang membezakannya adalah bagaimana orang mukmin menghadapi setiap musibah itu dengan keredaan dan ketenangan kerana mereka yakin ia adalah ujian Allah untuk menguji hamba-hambanya.
Ia juga perlu dilihat sebagai satu tangga untuk meningkatkan keimanan. Firman Allah didalam Surah Al-Baqarah ayat 155, ertinya; Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.
Setiap ujian manusia itu berbeza diantara satu sama lain maka dengan kita bersabar dan yakin kepada Allah, ia akan menjadikan seorang hamba itu lebih reda menangani setiap masalah yang dihadapi.
Ramai yang menyangka bahawa sabar bererti kita merendahkan diri dan menyerah pada keadaan.Atau berhenti tanpa berusaha untuk mencari ikhtiar dan jalan keluar.Persepsi ini adalah tidak benar.Ini kerana sifat sabar yang sebenar ialah kita hadapi setiap ujian dan musibah dengan cara yang baik, berikhtiar mencari jalan keluar dengan cara yang baik di samping melakukan amalan solah dan usaha yang terpuji.

Video thumbnail

Thumbnail: 1 Minggu 1 Istilah | Sabar #06

Ustazah Salina

Senarai Video

Kongsi video ini ke: