BAB 4 KEREAKTIFAN LOGAM (KLINIK SAINS TINGKATAN 3) SIRI 1
- Cikgu Dess2020
- 00:39:12
Sesetengah logam seperti natrium dan kalium bertindak balas dengan unsur lain (bukan logam) secara lebih cergas berbanding dengan logam yang lain. Kereaktifan logam merujuk kepada darjah kecergasan logam untuk mengalami tindak balas kimia dengan unsur lain.Mineral ialah unsur atau sebatian pepejal yang ditemui secara semula jadi di dalam kerak Bumi. Mineral dalam bentuk unsur seperti emas dan perak wujud secara bebas di dalam kerak Bumi. Mineral dalam bentuk sebatian seperti bauksit dan galena terdiri daripada gabungan beberapa jenis unsur yang berlainan. Logam yang berlainan mempunyai kereaktifan yang berbeza terhadap oksigen. Logam yang lebih reaktif bertindak balas dengan lebih cergas dengan oksigen. Dalam tindak balas yang cergas antara logam yang lebih reaktif seperti kalium dengan oksigen, nyalaan yang terang diperhatikan.Dalam tindak balas yang kurang cergas antara logam yang kurang reaktif seperti besi dengan oksigen, hanya baraan atau perubahan warna yang berlaku secara perlahan-lahan dapat diperhatikan. Siri kereaktifan logam dibentuk berdasarkan kereaktifan logam dengan oksigen.Dalam siri kereaktifan logam, karbon terletak di antara aluminium dengan zink manakala hidrogen terletak di antara zink dengan ferum (besi).Walaupun karbon ialah unsur bukan logam, karbon dapat menyingkirkan suatu logam yang kurang reaktif daripadanya, seperti zink daripada zink oksida. Logam-logam yang lebih reaktif daripada karbon atau terletak lebih tinggi daripada karbon dalam siri kereaktifan logam (kalium, natrium, kalsium, magnesium dan aluminium) perlu diekstrak melalui elektrolisis. Logam-logam ini diekstrak dengan mengalirkan arus elektrik melalui leburan bijihnya. Logam-logam yang kurang reaktif daripada karbon, iaitu terletak lebih rendah daripada karbon dalam siri kereaktifan logam (zink, ferum, timah dan plumbum) diekstrak dengan memanaskan bijih bersama-sama karbon (arang kok).
#BAB4 #SAINSTINGKATAN3 #KEREAKTIFANLOGAM #PDPR #AYU
Thumbnail: BAB 4 KEREAKTIFAN LOGAM (KLINIK SAINS TINGKATAN 3) SIRI 1