AL QURAN TAHUN 6 | SURAH AT TIN | #gurupendislamsk
- rohaizah mohamed sohor
- 00:15:35
Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 6 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah memberitahu yang manusia akan terbahagi kepada dua darjat.
Allah memulakan surah ini dengan sumpah pertama.
وَالتّينِ وَالزَّيتونِ
Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun,
Buah Tin adalah buah yang diberkati. Memang ada kelebihan kepada buah Tin , Tetapi dalam ayat ini, adakah Allah hendak bercakap tentang buah atau tempat? Dalam bahasa Arab klasik, masyarakat Arab menggelar sesuatu tempat dengan isyarat kepada apa yang terkenal di tempat itu. Oleh itu, ulama’ berpendapat bahawa kalimat وَالتّينِ وَالزَّيتونِ mungkin bermaksud tempat atau kawasan tertentu. Iaitu tempat di mana buah tin dan buah zaitun banyak.
Ada beberapa tempat yang disenaraikan dalam kitab tafsir:
Mungkin merujuk kepada Palestin, tempat yang banyak buah Tin dan Zaitun..Syria,Damascus, Selatan Iraq
Bukit Judi di mana bahtera Nabi Nuh telah mendarat
Ia merujuk kepada Bukit Zaitun yang berada di Jurusalem.
Ibn Abbas mengatakan ia merujuk kepada Masjid al Aqsa di Palestin.
Oleh itu, ia bukan sahaja merujuk kepada buah itu sendiri, tapi merujuk kepada tempat. Dan ada juga yang memanjangkan lagi dengan mengatakan, bukanlah yang hendak disebut tentang tempat itu tapi merujuk kepada Nabi-nabi yang datang dari situ, iaitu:
At-teen merujuk kepada Nabi Ibrahim.
Mungkin juga Nabi Nuh kerana tempat bahteranya mendarat
Az-zaitoon pula mungkin merujuk kepada Nabi Isa yang lahir di Palestin yang ada banyak buah zaitun.
Ayat 2: Sumpah kedua.
وَطورِ سينينَ
dan demi bukit Sinai,
Ini adalah nama tempat Nabi Musa telah bercakap-cakap dengan Allah. Bukit ini terletak di Mesir.
Perkataan طورِ dan سينينَ adalah asing bagi bangsa Arab. Jadi ini menunjukkan memang Nabi Muhammad dapat maklumat tidak lain dan tidak bukan adalah dari Allah. Ada yang mengatakan kalimah طورِ ini bukanlah dari bahasa Arab tapi dimasukkan ke dalam bahasa Arab. Ianya adalah gunung/bukit yang subur, dipenuhi dengan tanaman hijau. Dan kalimah ini juga ada disebut dalam Mu’minun:20:
وَشَجَرَةً تَخرُجُ مِن طورِ سَيناءَ تَنبُتُ بِالدُّهنِ وَصِبغٍ لِلآكِلينَ
dan pohon kayu keluar dari Thursina, yang menghasilkan minyak, dan pemakan makanan bagi orang-orang yang makan.
Mereka yang menentang Nabi Muhammad tentunya menuduh baginda dapat maklumat ini dari Ahli Kitab. Tapi, mereka sentiasa memerhatikan segala pergerakan Nabi, lalu bagaimana mereka nak kata yang Nabi ada mengadakan perjumpaan rahsia dengan Ahli Kitab sedangkan memang tidak ada perjumpaan sebegitu?
Oleh itu, kalau mereka mahu membuka hati mereka, tidak lain dan tidak bukan, maklumat yang Nabi sebutkan ini datangnya dari Allah SWT.
Ayat 3: Sumpah ketiga.
وَهٰذَا البَلَدِ الأَمينِ
dan demi kota (Mekah) ini yang aman,
Dan ini pula adalah negeri dari mana datangnya Nabi Muhammad SAW, iaitu Kota Mekah. Walaupun tidak disebut dalam lafaz ayat ini, tapi ulama sepakat yang ianya merujuk kepada Kota Mekah. Ini sama seperti yang disebut dalam Surah Balad.
Kalimah البَلَدِ merujuk kepada kota yang ada sempadan yang tetap. Oleh itu, Mekah adalah satu kota yang tetap. Allah menjadikan Kota Mekah sebagai البَلَدِ kerana menghormati doa Nabi Ibrahim yang berdoa supaya Mekah itu dijadikan sebagai البَلَدِ
Kemudian Allah menyebut sifat Mekah itu sebagai الأَمينِ (yang aman) kerana sesiapa yang pergi ke Mekah akan rasa aman. Sesiapa yang tinggal di situ tidak sanggup membunuh dan perompak pun tak berani nak kacau Makkah. Tapi dalam Surah al-Balad, perkataan الأَمينِ tidak digunakan kerana keamanan Makkah waktu itu telah hilang sekejap kerana mereka nak membunuh Nabi.
Kalimah الأَمينِ dikaitkan dengan Mekah kerana ia juga boleh bermaksud ‘amanah’. Allah mengamanahkan Mekah itu sebagai tempat untuk dikerjakan Umrah/Haji. Juga, Allah telah mengamanahkan Mekah itu menjadi tempat lahir RasulNya yang terakhir. Ia juga boleh bermaksud penduduk di Mekah itu diamanahkan untuk menjaga keamanan tempat itu. Kerana itulah dari turun temurun, Mekah tidak menjadi tempat pertumpahan darah.
Jadi, tiga tempat telah disebut atau diisyaratkan:
Palestin,Bukit Sinai,Makkah
Kenapa agaknya susunan ayat dan tempat itu sebegitu? Ulama ada memberi pendapat:
Kelebihan buah Tin seperti yang telah disebut dalam hadis.
Kelebihan buah Zaitun juga ada disebut di mana ianya mempunyai keberkatan seperti yang telah disebut dalam Surah an-Nur.
Bukit Thursina juga ada keberkatan kerana itulah tempat Nabi Musa bercakap dengan Allah.
Akhir sekali adalah Mekah yang Aman. Di sinilah terletaknya Ka’bah yang dibina oleh Nabi Ibrahim, juga tempat kelahiran Rasul yang paling mulia iaitu Nabi Muhammad. Di sinilah juga diturunkan wahyu terakhir dari Allah.
Kalau kita lihat susunan itu ianya menaik dari berkat kepada paling berkat. Allahu a’lam.
Thumbnail: AL QURAN TAHUN 6 | SURAH AT TIN | #gurupendislamsk