SIRAH TAHUN 6 | HAJJATUL WADA' | PELAJARAN 17 | #gurupendislamsk

Pada bulan Zulkaedah, 10H Rasulullah SAW memaklumkan kepada para sahabat tentang keazaman baginda untuk menunaikan haji. Pengumuman ini mendapat respons yang positif di mana sahabat bersegera menyiapkan bekalan perjalanan masing-masing.

Sesungguhnya, ibadah yang bakal dilaksanakan ini merupakan yang pertama dan terakhir sebelum kewafatan baginda. Justeru, Hajjatul Wada’ adalah satu-satunya contoh untuk kita mengetahui sejarah haji Rasulullah dan kaifiat mengerjakannya.

Perjalanan haji Rasulullah SAW bersama isteri-isteri dan sahabat baginda bermula pada 25 Zulkaedah; iaitu pada enam hari terakhir bulan tersebut. Rombongan seramai kira-kira 90,000 orang ini bermalam di Zul Hulaifah sebelum berihram haji pada keesokan harinya.

Kemudian, dengan laungan talbiah dan alunan zikir yang bergema penuh semangat, mereka bergerak menuju Mekah.

Setelah menempuh pelbagai situasi, pada 3 Zulhijjah rombongan tiba di Zu Tuwa; sebuah perkampungan di pinggir kota Mekah seterusnya bermalam di situ.

Setelah siang iaitu pada 4 Zulhijjah, Rasulullah mandi membersihkan diri kemudian bergerak memasuki Kota Makkah melalui Kada’ di wilayah al-Batha’. Apabila tiba di Masjidil Haram, Rasulullah SAW mengetuai umatnya menuju ke Baitullah dan berittiba’. Setelah istilam dan mengucup Hajarul Aswad, baginda SAW terus mengerjakan tawaf Qudum sebanyak tujuh pusingan, di mana Ramal dilakukan pada tiga pusingan yang pertama.

Selesai tawaf, Rasulullah menunaikan solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim dan apabila selesai, baginda sekali lagi mengucup Hajarul Aswad.

Seterusnya Baginda menuju ke al-Mas’a untuk mengerjakan saie haji antara Bukit Safa dan Marwah.

Pada waktu zuhur hari Tarwiyah bersamaan Khamis, 8 Zulhijjah, iaitu ketika berada di Abtah, Rasulullah mengingatkan jemaah Tamattuk agar berihram haji. Kemudian, mereka bergerak ke Mina sambil bertalbiyah, seterusnya bermalam di situ. Semasa di Mina, mereka mengerjakan solat fardu secara qasar tanpa jamak.

Keesokan harinya (Hari Arafah/9 Zulhijjah), pada waktu dhuha, Rasulullah dan rombongan berangkat ke Arafah dan baginda berkhemah di Namirah. Apabila hampir waktu zuhur, Rasulullah menaiki untanya al-Qaswa’ menuju ke Wadi ‘Uranah untuk menyampaikan khutbah Arafah.

Selepas itu, baginda mengimami solat zuhur dan asar secara jamak taqdim dan qasar, dengan satu azan dan dua iqamat. Selesai solat, Rasulullah pergi ke kaki bukit Jabal Rahmah dan berwuquf di al-Sakhrah sehingga terbenam matahari.

Setelah terbenam matahari, Rasulullah berangkat dengan penuh ketenangan ke Muzdalifah dengan menaiki untanya. Apabila tiba di Muzdalifah, Rasulullah menunaikan solat maghrib dan isyak secara jamak ta’khir dan qasar.

Apabila fajar menyingsing, Rasulullah bangun menunaikan solat subuh seterusnya berdoa sehingga hari cerah dan mengutip tujuh biji anak batu. Kemudian, dengan gema laungan talbiyah, baginda menuju ke al-Jamratul Kubra di Mina lalu melakukan lontaran seraya bertakbir pada waktu dhuha.

Selesai melontar pada hari Nahar, 10 Zulhijjah ini, baginda menyembelih al-Hadyu sebanyak 63 ekor Badanah seterusnya bercukur untuk Tahallul Awwal, dan menghadiahkan rambut-rambutnya kepada sahabat sebagai kenangan. Selesai bercukur, Rasulullah membersihkan diri dan memakai wangian kasturi lalu baginda bergerak menuju Mekah.

Apabila tiba di Masjidil Haram, Rasulullah mengerjakan tawaf Ifadhah bertujuan menghasilkan Tahallul Thani. Selesai tawaf dan solat di belakang Makam Ibrahim, baginda minum air zamzam dan berehat seketika sehingga masuk waktu zuhur. Setelah solat, Rasulullah kembali ke Mina bagi tujuan mabit pada malam hari-hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Apabila matahari tergelincir, Rasulullah SAW pergi melontar di Jamarat, iaitu al-Sughra, al-Wusta dan al-Kubra, serta berdoa setiap kali sempurna lontaran di dua jamrah yang pertama seperti mana yang dinyatakan oleh Ibn Umar r.a.

Sepanjang baginda SAW berada di Mina, Rasulullah mengerjakan solat-solat fardu secara qasar sahaja. Setelah menyempurnakan lontaran pada 13 Zulhijjah, Rasulullah menuju ke al-Muhassab dan bermalam di situ. Pada 14 Zulhijjah, baginda bangun sebelum subuh lalu menyucikan diri. Selepas itu, baginda menunggang untanya menuju ke Masjidil Haram untuk mengerjakan tawaf Wada’ ketika hari masih gelap.

Selesai tawaf, Rasulullah segera meninggalkan Mekah pulang ke Madinah. Setibanya di Kuday, Rasulullah bertemu dengan isterinya Aisyah r.a. yang baru selesai mengerjakan umrah dari Tan’im.

Rasulullah meneruskan perjalanan sehingga tiba di Zul Hulaifah lalu bermalam di situ. Keesokan paginya, baginda bergerak menuju ke Madinah melalui jalan Mu’arras. Akhirnya, dengan lafaz takbir, tahlil dan doa, Rasulullah dan rombongan baginda selamat sampai ke Kota Madinah.

Begitulah secara ringkasnya sirah haji yang mampu dipaparkan dalam ruangan ini. Semoga ia menjadi panduan buat bakal jemaah haji dan pembaca sekelian. Wallahu A’lam.

Video thumbnail

Thumbnail: SIRAH TAHUN 6 | HAJJATUL WADA' | PELAJARAN 17 | #gurupendislamsk

rohaizah mohamed sohor

Senarai Video

Kongsi video ini ke: